DIPOTONG TANGAN KERANA
MEMBERI SEDEKAH
Dikisahkan bahawa semasa berlakunya kekurangan makanan dalam
kalangan Bani Israel, maka lalulah seorang fakir menghampiri rumah seorang kaya
dengan berkata, "Sedekahlah kamu kepadaku dengan sepotong roti dengan
ikhlas kerana Allah S.W.T." Setelah fakir miskin itu berkata demikian maka
keluarlah anak gadis orang kaya, lalau memberikan roti yang masih panas
kepadanya. Sebaik sahaja gadis itu memberikan roti tersebut maka keluarlah bapa
gadis tersebut yang bakhil itu terus memotong tangan kanan anak gadisnya
sehingga putus. Semenjak dari peristiwa itu maka Allah S.W.T pun mengubah
kehidupan orang kaya itu dengan menarik kembali harta kekayaannya sehingga dia
menjadi seorang yang fakir miskin dan akhirnya dia meninggal dunia dalam
keadaan yang paling hina.
Anak gadis itu menjadi pengemis dan meminta-minta dari satu
rumah ke rumah. Maka pada suatu hari anak gadis itu menghampiri rumah seorang
kaya sambil meminta sedekah, maka keluarlah seorang ibu dari rumah tersebut.
Ibu tersebut sangat kagum dengan kecantikannya dan mempelawa anak gadis itu
masuk ke rumahnya. Ibu itu sangat tertarik dengan gadis tersebut dan dia
berhajat untuk mengahwinkan anaknya dengan gadis tersebut. Maka setelah
perkahwinan itu selesai, maka si ibu itu pun memberikan pakaian dan perhiasan
bagi menggantikan pakaiannya.
Pada suatu malam apabila sudah dihidang makanan malam, maka
si suami hendak makan bersamanya. Oleh kerana anak gadis itu kudung tangannya
dan suaminya juga tidak tahu bahawa dia itu kudung, manakala ibunya juga telah
merahsiakan tentang tangan gadis tersebut. Maka apabila suaminya menyuruh dia
makan, lalu dia makan dengan tangan kiri. Apabial suaminya melihat keadaan
isterinya itu dia pun berkata, "Aku mendapat tahu bahawa orang fakir tidak
tahu dalam tatacara harian, oleh itu makanlah dengan tangan kanan dan bukan
dengan tangan kiri." Setelah si suami berkata demikian, maka isterinya itu
tetap makan dengan tangan kiri, walaupun suaminya berulang kali memberitahunya.
Dengan tiba-tiba terdengar suara dari sebelah pintu, "Keluarkanlah tangan
kananmu itu wahai hamba Allah, sesungguhnya kamu telah mendermakan sepotong
roti dengan ikhlas kerana Ku, maka tidak ada halangan bagi-Ku memberikan
kembali akan tangan kananmu itu." Setelah gadis itu mendengar suara
tersebut, maka dia pun mengeluarkan tangan kanannya, dan dia mendapati tangan
kanannya berada dalam keadaan asalnya, dan dia pun makan bersama suaminya
dengan menggunakan tangan kanan. Hendaklah kita sentiasa menghormati tetamu
kita, walaupun dia fakir miskin apabila dia telah datang ke rumah kita maka
sesungguhnya dia adalah tetamu kita. Rasulullah S.A.W telah bersabda yang
bermaksud, "Barangsiapa menghormati tetamu, maka sesungguhnya dia telah
menghormatiku, dan barangsiapa menghormatiku, maka sesungguhnya dia telah
memuliakan Allah S.W.T. Dan barangsiapa telah menjadi kemarahan tetamu, dia
telah menjadi kemarahanku. Dan barangsiapa menjadikan kemarahanku, sesungguhnya
dia telah menjadikan murka Allah S.W.T."
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud, "Sesungguhnya
tetamu itu apabila dia datang ke rumah seseorang mukmin itu, maka dia masuk
bersama dengan seribu berkah dan seribu rahmat."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar